JOHOR BAHARU, 22 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan agar semua anggotanya menyertai Skuad Pengguna 1Malaysia (SP1M), bagi memantau kenaikan harga barang.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata, penyertaan itu membolehkan penjawat awam menjadi agen kerajaan dalam membanteras aktiviti kenaikan harga barangan, khususnya ketika musim perayaan.
"Sekiranya mendapati harga barang luar biasa di pasaran, mereka boleh mempersoalkan kepada peniaga dengan menunjukkan kad Skuad Pengguna 1Malaysia (SP1M) serta melaporkan kepada kementerian," katanya selepas majlis penyerahan kad SP1M kepada anggota Cuepacs di Pusat Islam Iskandar di sini, pada Isnin.
Majlis itu disempurnakan Exco Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Hoo Seong Chang yang mewakili Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Menurut Omar, penjawat awam juga dapat memain peranan penting dan berganding bahu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi membanteras aktiviti perniagaan yang tidak beretika.
Dijangkakan lebih 100,000 anggota Cuepacs akan menyertai skuad itu, katanya.
-- BERNAMA