13 November 2012
Utusan Malaysia
13/12/2012
13/12/2012
KOTA KINABALU 12 Nov. - Kongres Kesatuan
Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan
menyediakan insentif khas kepada penjawat awam yang tidak berpeluang
dinaikkan pangkat meskipun mempunyai ijazah dan diploma.Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mencadangkan agar
insentif khas sebanyak RM350 diberikan kepada pemegang ijazah dan RM200
kepada pemegang diploma.
Beliau bagaimanapun berkata, insentif berkenaan hanya layak diberikan
kepada petugas yang mempunyai ijazah atau diploma yang berkaitan dengan
jawatan mereka."Sekarang kita ada hampir 5,000 pekerja sektor awam yang ada ijazah
atau diploma tetapi terhad untuk meningkat kepada jawatan lebih baik
tertakluk kepada jawatan kosong."Jadi kita mahu walaupun tidak dinaik pangkat tetapi diberi insentif
tersebut memandangkan mereka dibebankan dengan tugas berdasarkan
pengalaman mereka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat
Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan
Universiti Malaysia (GAKUM) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini
hari ini.Menurut Omar, pemberian insentif itu akan dapat memberikan keadilan
kepada penjawat awam selain menaikkan semangat mereka untuk bekerja
bersungguh-sungguh.Sementara itu, beliau berharap kerajaan menetapkan kuota ke atas
pengambilan jawatan kosong sektor awam bagi memberi keadilan kepada
semua penjawat awam.
"CUEPACS mencadangkan 50 peratus kuota diberikan kepada penjawat awam
sedang berkhidmat manakala 50 peratus lagi kepada pemohon baharu,"
katanya.Omar berkata, bagi memastikan kebajikan kira-kira 45,000 pekerja
kontrak, kerajaan diminta menyerap kesemua pekerja kontrak yang
berkhidmat sekurang-kurang lima tahun ke jawatan tetap.Katanya, sekiranya tidak dapat dilaksanakan serentak, kontrak pekerja
berkenaan perlu disambung selain pengambilan pekerja kontrak baharu
tidak diteruskan lagi."Saya kesal kerana ada agensi yang menamatkan pekerja mereka dan
melantik pekerja baharu sebab mereka dapat membayar gaji yang murah
kepada pekerja baharu," ujarnya.